Genap
setahun lagi kaki ini melangkah di atas muka bumi mengikut Kalendar Islam.
Coretan kali ini adalah satu perkongsian hati. Perkongsian buat sahabat-sahabat
yang mekar di ingatan dan harum mewangi dalam hati.. 21 tahun secara kasarnya
jasad ini sudah sebati dengan warna dunia,namun masih lagi alpa untuk mengenal
isi disebalik kulit dunia yang indah dan mulus, menguji hati-hati manusia yang
merangkak, bertatih, berjalan dan berlari di atasnya. Pada masa itu juga, dunia
akan melihat ukiran yang pelbagai pada riak wajah insan-insan yang menongkah
bahtera hidup diatasnya. Mungkin juga ia terhibur, mungkin juga ia hiba.
Gembira kerana melihat insan-insan tersungkur dalam gurauannya dan mungkin hiba
mengenang nasib sebagai nikmat yang sementara cuma. Itulah janji Allah..
Dan
tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan
sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka
tidakkah kamu memahaminya? (al-an’am : 32)
Jangan pernah lupa dengan
peringatan penciptanya. Allah yang menciptakan dunia dan segala isinya. Dia
lebih tahu setiap inci isi dan kulitnya. Maka kenapa ramai lagi insan yang
tidak mahu memahaminya?
Allah
meluaskan rezki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira
dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibanding dengan)
kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit). (ar- Rad :
26)
Adakah Allah mengingatkan
manusia itu sekali sahaja tentang keadaan dunia yang sangat sedikit keuntungannya
bagi insan-insan yang mengejarnya? Umur yang panjang tidak akan mampu untuk
menjamin seorang insan itu mengenal jasad sang dunia melainkan insan itu hanya
memahami dunia melalui baying-bayangnya sahaja. Namun adakah dunia itu hanya
sekadar perangkap buat insan-insan yang Allah ciptakan sebagai khalifah?
Dan
di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami
kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa
neraka" (al
baqarah : 201)
Allah pasti tidak
menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Sesuatu yang buruk pada pandangan
manusia pasti ada hikmah disebaliknya. Begitu juga dengan sang dunia, di
sebalik peringatan daripada Allah tentang keadaannya yang sementara dan penuh
tipu daya, kejadiannya juga terselit kebaikan untuk insan-insan yang mengingati
janjinya kepada Allah saat Allah bertanya kepada setiap roh yang ingin
ditiupkan dalam jasad-jasad yang akan lahir ke dunia. Itulah komunikasi pertama
yang berlaku antara manusia dan Tuhannya. Namun cahaya dunia menyebabkan
manusia lupa pada janjinya. Allah
menjadikan dunia sebagai ladang akhirat, untuk manusia mengembleng tenaga bagi
maraih pahala berganda di sisi Allah. Segala amalan diniatkan kerana Allah itu
adalah ibadat dan ibadat, Allah telah janjikan pahala-pahala yang menjadi
binaan kepada jambatan ke syurga Allah. Namun, pastinya dengan keredhaan Allah
jua.
dan
sesungguhnya kepunyaan Kamilah akhirat dan dunia. (al-lail
:13)
Dunia adalah jambatan buat
manusia untuk menyempurnakan lagi ‘title’ manusia sebagai khalifah yang tidak
Allah berikan kepada makhluk lain ciptaanNya melainkan kepada mahkluk yang
diberikanNya akal. Akal sebagai kunci untuk membangunkan alam, menjaga dan
memelihara alam. Disamping untuk membina tamadun manusia yang taat kepada
Allah. Namun akal yang diberi santapan kelalaian pasti tidak mampu membangunkan
ketaatan dalam tamadunnya melainkan dia terus membina dan memperkukuhkan
kelalaian seiring dengan pembangunan tamadunnya. Inilah yang disaksikan oleh
dunia. Insan- insan yang melata dipermukaannya dengan pelbagai ragam, ideology,
sketsa dan peristiwa daripada manusia pertama sehingga manusia terakhir yang
akan dipisahkan roh dari jasad oleh malaikat.
Hakikatnya dunia akan
menjadi baik buat insan yang memandangnya sebagai tempat persinggahan sebelum
kembali ke daerah akhirat yang kekal abadi. Melihat dengan pandangan bahawa
kehidupan dunia itulah peluang yang tidak boleh dipersiakan untuk dijadikan
bekalan apabila berhadapan di hadapan Allah. Ibarat seorang raja yang
mengarahkan rakyatnya untuk pergi
merantau ke seluruh dunia dan kembali samaada dengan hasil yang baik atau
buruk. Akhirnya sang raja akan bertanyakan “apakah yang kamu bawa ?” Namun
segala amalan di dunia itu hakikatnya bukanlah untuk Allah, Allah tidak
mengkehendaki amalan manusia itu melainkan manusia itu yang sangat memerlukan
amalannya sebagai jaminan keselamatan dan bukti ketaqwaannya di hadapan Allah
kelak. Kenapa begitu? Sesungguhnya amalan manusia yang menggunung tinggi dan
selua lautan itu tidak akan mampu untyk mengatasi rahmat, nikmat dan redha
Allah hatta sebesar sayap nyamuk. Amalan-amalan itu pasti tidak dapat menebus
harga sebelah mata manusia yang diberikan oleh Allah.
Dunia.. warnanya mencorak
kanvas hidup manusia..samaada warna yang penuh racun ataupun warna yang penuh
dengan bunga ketaatan. Inilah wajah dunia..wajah yang bergantung kepada wajah
hati insan-insan yang berjalan di atasnya. Andai hati insane yang berlari itu
baik, maka jalannya di dunia pasti lurus walaupun terpaksa melalui onak duri.
Andai hati insan yang berjalan itu buruk, maka jalnnya di dunia pasti tersasar
jauh walaupun jalan itu penuh dengan nikmat. Pilihan itu ada pada insane yang
dibekalkan hati dan juga akal. Terpulang pada bagaimana cara insan itu
mencorakkan akal dan hati selama berkelana di atas dunia maka begitulah juga
lakaran wajah dunia dipandangannya. Namun hakikatnya peringatan Allah..
Dan
barangsiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, niscaya di akhirat (nanti) ia
akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (al isra’
: 72)
No comments:
Post a Comment