Monday, December 26, 2011

Menyahut seruan & cabaran seorang murabbi

Liqo' bersama seorang murabbi..mendengar setiap butir bicaranya yang lembut. Bagi memulakan usrah yang menjadi salah satu program di bawah kelolaan PEDAP maka nuqaba' juga perlu menadah ilmu sebelum mencurahkan semula kepada mad'u yang bakal menjadi mata rantai perjuangan Islam. Insya Allah.. Beberapa point pesanan dan juga ku tafsirkan sebagai cabaran buat diri bergelar naqibah kepada kumpulan Saidatina Khadijah ku dengar dan ku letak sebagai matlamat yang perlu aku capai.. Demi menyediakan adik-adik yang bakal ku ajak bersama di medan dakwah menjadi srikandi mewarisi peribadi Khadijah r.a..


Antara mutiara yang ku sahut :
1) Menjadi terbaik dalam semua bidang dan posisi. Sama ada menjadi pelajar atau pemimpin.


2) Solat berjamaah. Letakkan diri dalam zon istiqamah



3) Tepati masa. Usaha sampai dalam suatu majlis sebelum atau pada masa yang ditetapkan.


4) Hadirkan diri ke kuliah maghrib. Belajar komitmen dengan majlis ilmu.


5) Banyakkan berbicara dengan Allah. Mengadu di saat lelah, memuji di saat gembira.


Sukat diri dengan istiqamah..Adakah kita mampu?? Buktikan pada Allah...bukan pada manusia. Selamat berjaya untuk diri...^_^





Sunday, December 25, 2011

Adik-adik usrah ana..

Seusai berprogram dengan adik-adik usrah yang disayangi.. 2 hari walaupun singkat terasa ibarat belayar di lautan bersama dalam sebuah kapal. Mula mengenal sikap diri masing-masing. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun pada awalnya kurang mendapat sambutan dari adik-adik usrah muslimin. Kenapa ya? Tidak ingin menafsir negatif namun riak kecewa di wajah naqib mereka menyebabkan ana terfikir, ini jualah ujian insan yang berjuang mengikat hati-hati mad'u. Syukran yang teramat sangat buat adik-adik usrah ana (hamizah,aimi nadia, syarifah nur jannah, amrah, yusro ainaa dan khairunnisa) Hadirmu menceriakan hati..buat adik-adik ana yang tidak dapat hadir, ketidakhadiran kamu tidak pernah menyakiti malahan ana faham selaku naqibah, perancangan Allah itu lebih baik..^_^ untuk Hafsah, 'Atifah, Norazmilah, moga program seterusnya mampu mengumpulkan kita semua. 


Usrah inilah yang mengikat hati-hati kita walau sesibuk manapun kita menggalas amanah masing-masing di bumi KIPSAS ini. Apa yang ana harapkan daripada adik-adik usrah yang disayangi adalah bersama menghijaukan bumi KIPSAS yang semakin tandus dari biah solehah.. Inilah tugas kita..moga hati kamu bersedia untuk menerima tarbiyah bersama.. Ana tidak memerlukan adik-adik usrah yang Dean List tetapi yang ana perlukan adalah adik usrah yang memiliki hati yang warak dan kuat.


Jadikan diri menghayati ilmu yang diperolehi, miliki akidah yang mantap untuk berdepan dengan cabaran semasa dan mampu menegakkan syariah Islam di bumi KIPSAS, MALAYSIA dan juga di mata dunia. 

Dan ingatlah sabda Rasulullah :
Orang-orang mukmin itu dengan orang mukmin yang lain adalah ibarat bahagian-bahagian bangunan yang memerlukan antara satu sama lain.


p/s : buat adik2 usrah ana yang dikasihi, pelihara halaqah cinta kita..moga hati sentiasa bersama walau jasad sudah terpisah jauh..

Sunday, December 18, 2011

Amanah buat ku..


Amanah..lebih berat dari menggalas sebuah bukit di bahu kerana bukit yang tidak mampu dipikul tidak akan dipersoal di akhirat kelak manakala amanah...persoalannya bersambung di akhirat. Mampukah diri menggalas amanah demi amanah? Ya diri mampu, mampu dengan Kekuatan dan bantuan Allah s.w.t..Allah Maha Kuat maka wahai orang2 yang memiliki amanah, sujudlah meminta kekuatan pada Yang Maha Kuat..Amanah sebagai seorang HAMBA, ANAK, PELAJAR DAN SEORANG PEMIMPIN KEPADA SAHABAT YANG LAIN..kasarnya amat payah, tetapi tiada yang mustahil dengan bantuan Allah.. Jadi pelajar cemerlang dan pemimpin yang gemilang..untuk dunia dan akhirat.

Saturday, December 10, 2011

"Dean List" Kerana Allah



Kehidupan sebagai seorang pelajar pastilah tidak dapat lari daripada peperiksaan. Apabila menyebut tentang peperiksaan, tidak dapat tidak, keputusan peperiksaan amatlah dititikberatkan. Sudah menjadi lumrah, yang mendapat markah tinggi itu bersalut kegembiraan dan mereka yang mendapat markah rendah berselubung duka.
Setelah keputusan peperiksaan keluar, terdapatlah beberapa orang pelajar yang tidak mendapat markah yang diharapkan. Selepas selesai bermuhasabah, maka mereka berpendapat, belajar bukan kerana Dean list, tetapi belajar kerana Allah. Sekali saya memandang seperti tidak ada yang silap.
Ya, benar! Belajar kerana Allah. Tidak ada yang silapnya di situ.
Matlamat yang disalahertikan
Bagi kebanyakkan pelajar tahun 1 di sini, dan saya percaya di mana-mana pun, semua orang akan meletakkan target, "Sekurang-kurangnya, Dean list". Saya juga pernah meletakkan targetsedemikian.
Timbulnya pendapat seperti di atas membuat aku sedikit lega. Tak dapat Dean list pun tidak mengapa. Janji, aku belajar kerana Allah. Namun aku tertanya-tanya, salahkah belajar keranaDean list? Tidak bolehkah kita belajar kerana Allah dan dalam pada masa yang sama mendapatDean list?
Pernah dikisahkan tentang seorang pemuda berperang kerana ingin mendapatkan bidadari. Maka timbul satu persoalan. Adakah dia berperang kerana Allah?
Ulama bersependapat mengatakan beliau berperang kerana Allah. Ini kerana, beliau yakin dengan balasan Allah janjikan iaitu balasan syurga dan bidadari. Berperang untuk menuntut janji-janji Allah.
Begitu jugalah dengan kita. Sunnatullah mengatakan mereka yang berusaha akan berjaya. Itu hukum alam. Syarat dan akibat. Mahukan akibat yang baik, ada syarat-syaratnya. Mahukan akibat yang kurang baik, ada syarat-syaratnya. Jadi bukankah mengejar kejayaan itu juga menunjukkan bahawa kita yakin dengan Allah? Percaya dengan sunnatullah?
Adakah mengejar kejayaan atau dalam konteks kita, Dean list adalah salah? Tidak kerana Allah?
Matlamat dan usaha
Tersebutlah kisah seorang pelajar yang terkejut dengan keputusan peperiksaan beliau. Maka terlintaslah dibenaknya, "Mesti aku belajar tidak ikhlas kerana Allah". Maka dibetulkan niatnya. Semester seterusnya keadaan yang sama berulang. Keputusan masih sama, tidak berubah. Maka hatinya berkata, "Mungkin aku tidak cukup ikhlas".  Kehidupannya diteruskan seperti biasa. Tidak apa yang berubah.
Dimana silapnya?
Cara kita bermuhasabah. Muhasabah niat itu tidak salah. Cuma muhasabah niat sahaja tanpa diteliti usaha yang telah kita berikan itulah yang silap. Mungkin saja usaha yang kita letakkan sudah sangat hebat, sehebat rakan-rakan kita yang lain. Rakan-rakan yang cemerlang dan selalu mendapat tempat teratas. Tapi, cukupkah?
Manusia itu berbeza. Usaha yang perlu bagi mereka dan kita tidak sama. Andai masih gagal sedangkan sudah berusaha. Itu maknanya, usaha kita belum cukup. Masih ada ruang untuk berusaha.
Jangan sampai koreksi niat setiap hari , keputusan masih juga sama. Akhirnya Tuhan yang dipersalahkan. Usah kita lupa, sunnatullah yang Allah tetapkan. Kejayaan tidak datang tanpa usaha. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Kesimpulan
Mengejar kejayaan itu tidak salah. Malah Islam sendiri menggalakan umatnya mengejar kejayaan dunia dan akhirat. Yang tinggalnya cuma, kenapa kita mahu berjaya. Niatlah kerana Allah kerana dengan itu segala benda yang baik dikira ibadah. Niatlah untuk mendapat kejayaan, kerana kita ialah umat yang Allah muliakan kerana Islam.
sumber : Iluvislam.com

Wednesday, December 7, 2011

Oh..Dunia


     Genap setahun lagi kaki ini melangkah di atas muka bumi mengikut Kalendar Islam. Coretan kali ini adalah satu perkongsian hati. Perkongsian buat sahabat-sahabat yang mekar di ingatan dan harum mewangi dalam hati.. 21 tahun secara kasarnya jasad ini sudah sebati dengan warna dunia,namun masih lagi alpa untuk mengenal isi disebalik kulit dunia yang indah dan mulus, menguji hati-hati manusia yang merangkak, bertatih, berjalan dan berlari di atasnya. Pada masa itu juga, dunia akan melihat ukiran yang pelbagai pada riak wajah insan-insan yang menongkah bahtera hidup diatasnya. Mungkin juga ia terhibur, mungkin juga ia hiba. Gembira kerana melihat insan-insan tersungkur dalam gurauannya dan mungkin hiba mengenang nasib sebagai nikmat yang sementara cuma. Itulah janji Allah..
Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?  (al-an’am : 32)
Jangan pernah lupa dengan peringatan penciptanya. Allah yang menciptakan dunia dan segala isinya. Dia lebih tahu setiap inci isi dan kulitnya. Maka kenapa ramai lagi insan yang tidak mahu memahaminya?
Allah meluaskan rezki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit). (ar- Rad : 26)

         Adakah Allah mengingatkan manusia itu sekali sahaja tentang keadaan dunia yang sangat sedikit keuntungannya bagi insan-insan yang mengejarnya? Umur yang panjang tidak akan mampu untuk menjamin seorang insan itu mengenal jasad sang dunia melainkan insan itu hanya memahami dunia melalui baying-bayangnya sahaja. Namun adakah dunia itu hanya sekadar perangkap buat insan-insan yang Allah ciptakan sebagai khalifah?
Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" (al baqarah : 201)
Allah pasti tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Sesuatu yang buruk pada pandangan manusia pasti ada hikmah disebaliknya. Begitu juga dengan sang dunia, di sebalik peringatan daripada Allah tentang keadaannya yang sementara dan penuh tipu daya, kejadiannya juga terselit kebaikan untuk insan-insan yang mengingati janjinya kepada Allah saat Allah bertanya kepada setiap roh yang ingin ditiupkan dalam jasad-jasad yang akan lahir ke dunia. Itulah komunikasi pertama yang berlaku antara manusia dan Tuhannya. Namun cahaya dunia menyebabkan manusia lupa pada janjinya.  Allah menjadikan dunia sebagai ladang akhirat, untuk manusia mengembleng tenaga bagi maraih pahala berganda di sisi Allah. Segala amalan diniatkan kerana Allah itu adalah ibadat dan ibadat, Allah telah janjikan pahala-pahala yang menjadi binaan kepada jambatan ke syurga Allah. Namun, pastinya dengan keredhaan Allah jua.
dan sesungguhnya kepunyaan Kamilah akhirat dan dunia. (al-lail :13)

       Dunia adalah jambatan buat manusia untuk menyempurnakan lagi ‘title’ manusia sebagai khalifah yang tidak Allah berikan kepada makhluk lain ciptaanNya melainkan kepada mahkluk yang diberikanNya akal. Akal sebagai kunci untuk membangunkan alam, menjaga dan memelihara alam. Disamping untuk membina tamadun manusia yang taat kepada Allah. Namun akal yang diberi santapan kelalaian pasti tidak mampu membangunkan ketaatan dalam tamadunnya melainkan dia terus membina dan memperkukuhkan kelalaian seiring dengan pembangunan tamadunnya. Inilah yang disaksikan oleh dunia. Insan- insan yang melata dipermukaannya dengan pelbagai ragam, ideology, sketsa dan peristiwa daripada manusia pertama sehingga manusia terakhir yang akan dipisahkan roh dari jasad oleh malaikat.

Hakikatnya dunia akan menjadi baik buat insan yang memandangnya sebagai tempat persinggahan sebelum kembali ke daerah akhirat yang kekal abadi. Melihat dengan pandangan bahawa kehidupan dunia itulah peluang yang tidak boleh dipersiakan untuk dijadikan bekalan apabila berhadapan di hadapan Allah. Ibarat seorang raja yang mengarahkan rakyatnya untuk  pergi merantau ke seluruh dunia dan kembali samaada dengan hasil yang baik atau buruk. Akhirnya sang raja akan bertanyakan “apakah yang kamu bawa ?” Namun segala amalan di dunia itu hakikatnya bukanlah untuk Allah, Allah tidak mengkehendaki amalan manusia itu melainkan manusia itu yang sangat memerlukan amalannya sebagai jaminan keselamatan dan bukti ketaqwaannya di hadapan Allah kelak. Kenapa begitu? Sesungguhnya amalan manusia yang menggunung tinggi dan selua lautan itu tidak akan mampu untyk mengatasi rahmat, nikmat dan redha Allah hatta sebesar sayap nyamuk. Amalan-amalan itu pasti tidak dapat menebus harga sebelah mata manusia yang diberikan oleh Allah.
Dunia.. warnanya mencorak kanvas hidup manusia..samaada warna yang penuh racun ataupun warna yang penuh dengan bunga ketaatan. Inilah wajah dunia..wajah yang bergantung kepada wajah hati insan-insan yang berjalan di atasnya. Andai hati insane yang berlari itu baik, maka jalannya di dunia pasti lurus walaupun terpaksa melalui onak duri. Andai hati insan yang berjalan itu buruk, maka jalnnya di dunia pasti tersasar jauh walaupun jalan itu penuh dengan nikmat. Pilihan itu ada pada insane yang dibekalkan hati dan juga akal. Terpulang pada bagaimana cara insan itu mencorakkan akal dan hati selama berkelana di atas dunia maka begitulah juga lakaran wajah dunia dipandangannya. Namun hakikatnya peringatan Allah..
Dan barangsiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, niscaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (al isra’ : 72)

HIJRAH BUAT DIRI..1433H


Hijrah itu memang payah..sukar untuk dilaksanakan.Amat payah untuk disempurnakan untuk dijadikan suatu realiti. Ada yang menggunakan tarikh-tarikh tertentu untuk berhijrah dan pastinya mengambil ikhtibar daripada tarikh 1 muharram. Tarikh yang melakar satu sejarah yang memberi impak kepada pengukuhan tamadun Islam di bumi Arab dan Madinah pastinya menjadi saksi langkah para muhajirin yang disambut oleh kaum Ansar.Bermulalah pembinaan kerajaan Islam pertama, dan contoh ikatan ukhwah yang kukuh antara dua kaum yang berbeza tetapi dibawah pimpinan seorang khalifah yang sama. Hijrah yang ingin dicontohi ini bukanlah semata-mata hijrah jasad dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Tetapi hakikatnya lebih daripada itu andai kita memandangnya dengan hikmah atau kebijaksanaan seorang insan yang berakal dan punya hati yang dididik dengan iman serta taqwa. Teringat akan hadist yang pertama dalam kitab hadist arbain an-nawawi yang menyatakan :
Dari Amirul Mu’minin, (Abu Hafsh atau Umar bin Khottob rodiyallohu’anhu) dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rosululloh shollallohu’alaihi wassalam bersabda: ’Sesungguhnya seluruh amal itu tergantung kepada niatnya, dan setiap orang akan mendapatkan sesuai niatnya. Oleh karena itu, barangsiapa yang berhijrah karena Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah karena (untuk mendapatkan) dunia atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang menjadi tujuannya (niatnya).’”


Memetik kata-kata “hijrah itu bergantung pada niatnya” maka apa yang ingin diketengahkan dalam entri ini adalah niat disebalik hijrah dan makna hijrah itu sendiri. Hijrah dari sudut bahasa ialah berpindah manakala istilah pula ialah perpindahan dari kota makkah ke kota madinah yang berlaku pada 1 muharram atas perintah Allah s.w.t. Ianya merupakan hijrah kedua selepas hijrah pertama ke habsyah.  Namun hijrah yang ingin dihuraikan bukan semata-mata hijrah jasad seperti yang dikatakan tadi tetapi mencari dan memahami lebih dari itu.
Hijrah juga dapat difahami sebagai meninggalkan sesuatu yang buruk kepada memilih sesuatu yang lebih baik di sisi Allah. Menghijrahkan hati dengan penyucian dan taubat untuk membentuk hijrah jasad melalui cara hidup yang diamalkan. Mungkin dulu dia seorang yang malas maka dia berhijrah untuk jadi seorang yang rajin. Mungkin juga dia seoarang penzina kemudian berhijrah dengan bertaubat dan mula melakukan kebaikan demi kebaikan. Itulah hijrah yang bermula dengan hati kemudian diterjemah dengan amal. Keluar daripada lembah kegelapan dan bertatih, berjalan ataupun berlari ke arah cahaya. Namun suka untuk meminjam kata dari seorang hamba Allah dalam entri nya. “BERJALANLAH JIKA TAK MAMPU BERLARI”
Perubahan dalam diri adalah satu hijrah. Kekadang suatu perubahan itu memberi kesan negative atau positif kepada diri bergantung kepada niat. Ada insane yang tidak suka melihat kemampuan perubahan seseorang. Mungkin juga dengki, mungkin juga rasa tercabar. Namun inilah salah satu keadaan yang bakal dihadapi oleh seorang yang berhijrah.
“saya dah pakai hijab labuh”
“saya dah solat 5 waktu”
“saya dah rajin baca buku”
“saya dah pakai purdah”
Gembira mendengar luahan-luahan sahabat apabila memilih satu masa untuk mula membuat penambahbaikan dalam diri namun hati..jangan pernah lupa dengan hati. Iringi hijrah amal dengan hijrah hati daripada keburukan maksiat kepada kebaikan amal soleh. Mungkin ramai yang mampu mengubah fizikal dan amalan tetapi amat payah untuk mengubah hati yang telah terbiasa dengan sesuatu keburukan. Pada saat itu merintihlah hati pabila hati sangat sukar untuk kembali jernih. Teringat satu kisah seorang anak yang selalu melakukan dosa. Ibu bapanya sangat runsing memikirkan akan anaknya. Lalu sang ibu menyuruh anaknya untuk memaku tiang dalam rumahnya setiap kali dia melakukan dosa. Maka dia melakukannya berkali-kali hingga penuh tiang tersebut dengan paku yang berkarat kerana di makan masa yang lama. Tiba-tiba anak itu termenung dan terasa sebak kerana memikirkan tentang banyaknya dosa yang telah dilakukan. Sang ibu menyuruh anaknya untuk membuka paku-paku tersebut jika dia melakukan kebaikan. Si anak pun tekad untuk berubah, setiap hari dicabutnya paku-paku tersebut. Namun si anak masih merasa sedih pabila melihat tiang tersebut walaupun tidak ada paku lagi namun apa yang dilihatnnya adalah kesan lubang-lubang dari paku itu dan juga kesan-kesan karat. Si ibu pun berkata “ begitulah juga dengan hati, apabila dipenuhi dengan dosa maka bentuk hati akan berubah hingga kita tak kenal hati itu lagi namun kebaikan dan taubat mampu untuk menghilang segala kekotoran hati namun hati itu tak mampu untuk menjadi sedia kala. Kerana bekas-bekas dosa melihat di hati. Menunjukkan hati itu pernah melakukan dosa. Manusia tak mampu untuk mengubah hati kembali putih tetapi manusia mampu mencorak hati ibarat kain batik yang cantik kerana lumrah hidup kita akan pernah berada di bawah dan di atas.



Sunday, November 13, 2011

Usah Malu..Langkahkan kaki

Saat hati diasak gersangnya iman, nafsu mula mengisi ruang-ruang kosong dalam diri. Dibantu dengan syaitan  yang melonjak girang kerana peluang berada di depan mata. Saat ini juga, diri akan mula merasa lemah,lelah dan berputus asa..penat melakukan amal kebaikan, lelah menyusuri jalan dakwah bahkan berputus asa dengan rahmat Allah,tatkala diri diuji sehebat-hebatnya mehnah. Maka tidak hairanlah bila ada yang tersungkur dalam pujukan nafsu dan syaitan durjana hingga berani meneguk nikmatnya dosa yang sementara. Samaada dosa kecil atau besar,hakikatnya ia tetap DOSA. Dosa yang akan memberikan kesan pada hati dan terzahir pada diri, akhlak dan cara hidup serta mengundang murkanya Allah. 

Memetik kata-kata Imam Al-Ghazali dalam Kitab Ihya Ulumiddin "dosa itu penghalang antara hamba dengan Tuhan yang dikasihi"

Maka mampukah kita terus hidup dalam keadaan terhijab dari rahmat dan kasih Allah??
Fitrah manusia itu adalah bertuhan.. perlu kepada Tuhan (Allah). Buktinya, dalam kepayahan manusia secara lansung akan ingat kepada Allah yang Maha Berkuasa tanpa perlu dipaksa untuk mengingatiNya.. itulah fitrah.Semulajadi..natural..namun ramai yang lupa Allah apabila telah senang, itu juga penyakit yang disuntik oleh bisikan syaitan di mana hati telah dibalut dengan nikmat kemewahan yang sementara.

Bila berkata tentang dosa, maka kita mampu seneraikan berpuluh-puluh atau lebih perbuatan hati dan anggota fizikal yang diklasifikasikan sebagai dosa mengikut apa yang telah dipelajari seiring dengan peningkatan usia dan pemahaman. Namun kita tak mampu untuk menyenaraikan hatta satu pun amalan yang pasti diterima sebagai penghapusan dosa melainkan menyerahkan segala ketaatan kita kepada Allah. Kita sendiri tak mampu mencari yang mana satukah amalan yang diterima ALLAH melainkan berpegang pada janji Allah bahawa kebaikan amalan itu akan diberikan ganjaran walaupun sebesar zarah..Itulah janji yang membuka harapan manusia untuk terus melakukan ketaatan kepada Allah.Namun, masih ada yang merasa ragu hatta malu untuk kembali menyusuri jalan sebagai hamba Allah apabila telah tersasar daripada landasan yang sebenar. 

"aku telah telanjur..aku telah berzina berulang kali.aku malu untuk berubah. Masyarakat pasti tak kan terima"
" aku kaki buli, kalau akau bertaubat mesti tidak aada yang percaya"
"aku tahu aku berdosa, aku tahu aku salah tapi aku malu nak berubah.Nanti kawan-kawan pandang serong"

Inilah yang kebiasaanya yang diluahkan oleh insan-insan yang ALLAH berikan sedikit sinar utuk keluar daripada kejahilan dan lorong-lorong maksiat. Namun MALU, TAKUT dan TIDAK YAKIN untuk memulakan langkah baru akibat daripada memikirkan pandangan orang lain menyebabkan sinar untuk keluar daripada kegelapan dibiar sia-sia. Kenapa perlu malu?? 

Taubat itu bukan milik sesiapa..kuncinya ditangan sendiri. Tidak perlu kos untuk bertaubat,. Hakikatnya melakukan dosa lebih payah daripada melakukan kebaikan. Bila nak pergi konsert perlu ada duit nak masuk, tapi bila nak ke masjid tak perlu duit malah Allah yang bagi ganjaran. Malahan pintu rumah Allah sentiasa terbuka luas tak perlu pass untuk masuk. Sangat mudah.. Tapi yang payahnya hati..perlu kena training saban waktu.

Hakikatnya tak perlu malu untuk kembali kepada Allah.. jatuh bangun dalam kehidupan adalah lumrah yang mendidik jika kita mampu mengambil ibrah akannya. Segunung mana tinggi dan besarnya dosa itu, mampukah mengatasi besar dan luasnya keampunan Allah???? Adakah Allah bersifat lemah untuk tidak mampu menghapuskan dosa yang menggunung dan melangit itu??? Adakah Allah zalim menentukan dengan qat'ie bahawa seseorang itu adalah penghuni neraka tanpa memberikan jalan atau sinar walaupun sedikit???

Cubalah renungkan..banyak kisah yang menggambarkan tentang keampunan Allah. Berusahalah untuk mencari jalanNya kembali..Usah malu dan berputus asa..mulakan langkah kaki untuk bangun dari kejahilan semalam..bangkit untuk bina jati diri yang batu. Bentuk peribadi mulia walaupun tak sempurna kerana manusia tak kan berhenti daripada proses belajar. Jangan berputus asa walaupun kita sering mengulangi dosa yang sama..Bendera mujahadatunnafsi perlu terus dikibarkan.Jangan pernah jatuh atau terlepas daripada genggaman!

P/S : Segunung mana pun dosa yang dipikul, Allah tak pernah lupa untuk menyediakan jalan pulang. Oleh itu usah malu untuk jadi baik atau lebih baik.Malulah bila mana kita mensia-siakan hati yang disuntik rasa penyesalan melakukan dosa namun kita tak berbuat apa-apa pun terhadap rasa hati yang Allah kurniakan. Datangnya bukan berkali-kali...jangan biar pintu taubat dan penyesalan itu tertutup rapat oleh kelamnya dosa

wallahu a'lam