Sunday, November 13, 2011

Usah Malu..Langkahkan kaki

Saat hati diasak gersangnya iman, nafsu mula mengisi ruang-ruang kosong dalam diri. Dibantu dengan syaitan  yang melonjak girang kerana peluang berada di depan mata. Saat ini juga, diri akan mula merasa lemah,lelah dan berputus asa..penat melakukan amal kebaikan, lelah menyusuri jalan dakwah bahkan berputus asa dengan rahmat Allah,tatkala diri diuji sehebat-hebatnya mehnah. Maka tidak hairanlah bila ada yang tersungkur dalam pujukan nafsu dan syaitan durjana hingga berani meneguk nikmatnya dosa yang sementara. Samaada dosa kecil atau besar,hakikatnya ia tetap DOSA. Dosa yang akan memberikan kesan pada hati dan terzahir pada diri, akhlak dan cara hidup serta mengundang murkanya Allah. 

Memetik kata-kata Imam Al-Ghazali dalam Kitab Ihya Ulumiddin "dosa itu penghalang antara hamba dengan Tuhan yang dikasihi"

Maka mampukah kita terus hidup dalam keadaan terhijab dari rahmat dan kasih Allah??
Fitrah manusia itu adalah bertuhan.. perlu kepada Tuhan (Allah). Buktinya, dalam kepayahan manusia secara lansung akan ingat kepada Allah yang Maha Berkuasa tanpa perlu dipaksa untuk mengingatiNya.. itulah fitrah.Semulajadi..natural..namun ramai yang lupa Allah apabila telah senang, itu juga penyakit yang disuntik oleh bisikan syaitan di mana hati telah dibalut dengan nikmat kemewahan yang sementara.

Bila berkata tentang dosa, maka kita mampu seneraikan berpuluh-puluh atau lebih perbuatan hati dan anggota fizikal yang diklasifikasikan sebagai dosa mengikut apa yang telah dipelajari seiring dengan peningkatan usia dan pemahaman. Namun kita tak mampu untuk menyenaraikan hatta satu pun amalan yang pasti diterima sebagai penghapusan dosa melainkan menyerahkan segala ketaatan kita kepada Allah. Kita sendiri tak mampu mencari yang mana satukah amalan yang diterima ALLAH melainkan berpegang pada janji Allah bahawa kebaikan amalan itu akan diberikan ganjaran walaupun sebesar zarah..Itulah janji yang membuka harapan manusia untuk terus melakukan ketaatan kepada Allah.Namun, masih ada yang merasa ragu hatta malu untuk kembali menyusuri jalan sebagai hamba Allah apabila telah tersasar daripada landasan yang sebenar. 

"aku telah telanjur..aku telah berzina berulang kali.aku malu untuk berubah. Masyarakat pasti tak kan terima"
" aku kaki buli, kalau akau bertaubat mesti tidak aada yang percaya"
"aku tahu aku berdosa, aku tahu aku salah tapi aku malu nak berubah.Nanti kawan-kawan pandang serong"

Inilah yang kebiasaanya yang diluahkan oleh insan-insan yang ALLAH berikan sedikit sinar utuk keluar daripada kejahilan dan lorong-lorong maksiat. Namun MALU, TAKUT dan TIDAK YAKIN untuk memulakan langkah baru akibat daripada memikirkan pandangan orang lain menyebabkan sinar untuk keluar daripada kegelapan dibiar sia-sia. Kenapa perlu malu?? 

Taubat itu bukan milik sesiapa..kuncinya ditangan sendiri. Tidak perlu kos untuk bertaubat,. Hakikatnya melakukan dosa lebih payah daripada melakukan kebaikan. Bila nak pergi konsert perlu ada duit nak masuk, tapi bila nak ke masjid tak perlu duit malah Allah yang bagi ganjaran. Malahan pintu rumah Allah sentiasa terbuka luas tak perlu pass untuk masuk. Sangat mudah.. Tapi yang payahnya hati..perlu kena training saban waktu.

Hakikatnya tak perlu malu untuk kembali kepada Allah.. jatuh bangun dalam kehidupan adalah lumrah yang mendidik jika kita mampu mengambil ibrah akannya. Segunung mana tinggi dan besarnya dosa itu, mampukah mengatasi besar dan luasnya keampunan Allah???? Adakah Allah bersifat lemah untuk tidak mampu menghapuskan dosa yang menggunung dan melangit itu??? Adakah Allah zalim menentukan dengan qat'ie bahawa seseorang itu adalah penghuni neraka tanpa memberikan jalan atau sinar walaupun sedikit???

Cubalah renungkan..banyak kisah yang menggambarkan tentang keampunan Allah. Berusahalah untuk mencari jalanNya kembali..Usah malu dan berputus asa..mulakan langkah kaki untuk bangun dari kejahilan semalam..bangkit untuk bina jati diri yang batu. Bentuk peribadi mulia walaupun tak sempurna kerana manusia tak kan berhenti daripada proses belajar. Jangan berputus asa walaupun kita sering mengulangi dosa yang sama..Bendera mujahadatunnafsi perlu terus dikibarkan.Jangan pernah jatuh atau terlepas daripada genggaman!

P/S : Segunung mana pun dosa yang dipikul, Allah tak pernah lupa untuk menyediakan jalan pulang. Oleh itu usah malu untuk jadi baik atau lebih baik.Malulah bila mana kita mensia-siakan hati yang disuntik rasa penyesalan melakukan dosa namun kita tak berbuat apa-apa pun terhadap rasa hati yang Allah kurniakan. Datangnya bukan berkali-kali...jangan biar pintu taubat dan penyesalan itu tertutup rapat oleh kelamnya dosa

wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment