Sunday, February 27, 2011

Kisah langkahku...

Salam ukhwah bersulam taqwa...

Alhamdulillah..ujianMu bakal menjadi penguat hati dan jasadku untuk terus berjalan di bumiMu ini..

Untuk kesekian kalinya ku gagahi jari ini untuk menari di atas keyboard laptop mengikut irama hati yang ingin berbicara..apa yang bakal aku sampaikan? untuk menjadi suatu pemberian berupa hadiah kepada semua.Insyaallah..

    
       Menghabiskan masa sabtu dan ahad dengan program yang berbentuk ziarah..aku cukup puas melihat keindahan landskap pokok getah yang selama ini hanya ku lihat dan ketahui melalui buku..subjek Geografi tak silap aku...Nyamannya suasana kampung..moga ia kekal dengan suasana yang menenangkan..moga tak tergadai dek rakusnya pembangunan yang dilakukan oleh insan-insan yang mengejar kekayaan dunia semata-mata..

Wednesday, February 23, 2011

Coretan hati dalam memberi (2)

Salam ukhwah bersulam taqwa..


Allhamdulillah..tidak lupa untuk memanjatkan rasa syukur kepada Allah..as manusia dan juga HAMBA rasa syukur itu tak pernah lari daripada diri kita dalam kehidupan seharian..


Mengambil masa yang terluang sebelum pergi ke kuliah seterusnya untuk memberi dan berkongsi sedikit rasa dan pengalaman.Allhamdulillah,seusai menjawab soalan bahasa Arab dan mendapat 'habuan' yang baik daripada ustazah,cukup membuatkan aku rasa letih dalam berfikir dan meneruskan langkah..Ditambah dengan omelan sahabat-sahabat yang melontarkan cadangan 'berpindah' dan 'berhenti'...Emm..andai semudah itu perjalanan hidup ini pasti tiada manusia yang mengenal erti sabar dan tabah..


    Teringat bicara dan khabar daripada sahabat yang jauh di Tawau...(Ramlah dan Norma)..aku pasti sentiasa merindui kamu..Dalam meraihkan kejayaan sahabat dalam pencapaian STPMnya,aku tersentak saat menerima khabar bahawa dia diuji dengan kesakitan..(Demam teruk)..Berfikir sejenak dan menghitung hari yang berlalu tanpa aku sedikit pun menyapa khabarnya..betapa aku merasa diri ini sangat zalim..terlalu disibukkan dengan urusan kolej hinggakan lupa untuk menghantar teks pesanan ringkas hatta satu kepadanya..(istighfar panjang)..maafkan aku duhai sahabat....namun doa untukmu sentiasa meniti di bibir tatkala aku menghadap Allah dan berlari kepadaNya..
    
    
         Kemenangan dalam Drama English mengubat hati yang diruntun rasa kurang enak disebabkan sindiran sinis yang diterima sebelum final bermula...Alhamdulillah...ukhwah itu lebih berharga..andai dihamparkan dihadapan dua perkara ini iaitu menang dan ukhwah,maka pastinya kami akan lebih memilih ukhwah untuk dijadikan harta yang lebih dibanggakan...TAHNIAH to DAKWAH DAN PENGURUSAN KUMPULAN 1......=) Wallahu a'lam..

    

Friday, February 18, 2011

Coretan hati dalam memberi (1)

Salam ukhwah bersulam taqwa..

Alhamdulillah..still ada peluang lagi untuk melakar sedikit coretan untuk perkongsian bersama..inilah salah satu langkah dan cara untuk memberi.Memberi kerana memiliki..

    Bumi KIPSAS walaupun tidak seluas bumi Mesir namun ia tetap sarat dengan ilmu .Setiap jam,minit dan saatnya sentiasa dalam waktu ilmu..Berdiri sebagai seorang siswi di medan tarbiyyah ilmu ini menjadikan setiap masaku terisi untuk memikirkan tentang assignment dan test..kekadang terselit rasa bimbang,mampukah untuk menghadapi imtihan nanti.Tenaga dan buah fikiran ku hakikatnya bukan semata-mata untuk diriku tetapi untuk agamaku..Penglibatan diri dengan program luar yang menuntut kewajibanku untuk menglibatkan diri membezakan aku dengan pelajar lain..andai mereka membahagikan masa mereka dengan dua bahagian iaitu diri dan study..maka aku pula membahagikan masa ku kepada 3 bahagian iaitu diri,study dan perjuangan ISLAM..

Berat atau tidak semuanya bergantung kepada niat dan apa yang dikejar dalam setiap perkara yang dilakukan.
                           
                           "Sesungguhnya amal itu dengan niat"

Cubalah bertanya pada diri dan iman..apa yang diharap pada setiap langkah di bumi KIPSAS ini? apa yang dicari? Bimbang bila keluar nanti,merasa ingin kembali..kerana menyesal tidak memanfaatkan peluang yang ada..janganlah mengikuti sikap ahli neraka yang apabila Allah campakkan ke dalam neraka,mereka memohon untuk dikembalikan ke dunia semula untuk menggantikan masa-masa yang berlalu tanpa ketaatan kepada Allah..Itulah serugi-rugi manusia..Takut sebelum rugi di akhirat telah rugi di dunia...

    Esok merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh semua pelajar semester 2..Drama Competition..setelah penat berlatih dan memperbaiki setiap kelemahan,maka esok semuanya akan beraksi...hakikatnya bukan mencari kemenangan tetapi merasa seronok dengan ukhwah yang tersimpul..setiap hari bertemu,pasti tidak lari dari gelak ketawa..Namun,jangan biarkan ketawa mematikan hati..=) Insyaallah ukhwah ini lebih berharga daripada kemenangan yang dijanjikan buat yang tebaik..Moga selamat buat semua sahabat team Dakwah 1..
    
     Buat diri dan sahabat.
     Drama....jangan sampai lupa pada  test dan assigment..Kesibukan demi kesibukan jangan sampai kita lupa pada Allah s.w.t..biarlah kita sibuk dengan ketenangan,jangan sibuk dengan kecelaruan.Orang yang tenang dalam kesibukan,maka sibuknya tidak melelahkan berbanding orang yang celaru dalam kesibukannya,maka sibuknya nanti pasti memberi bebanan yang berat pada jasad dan rohaninya..Bagaimana mendapatkan ketenangan itu??

Firman Allah s.w.t :
"(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenteram" (surah Ar Ra'd :28)


Mari sama-sama kita menilai dan menjaga hati dan diri kita....wallahualam... =)









  

Saturday, February 5, 2011

Demi Masa


Salam ukhwah bersulam taqwa..

   Alhamdulillah...

   Hari ini merupakan hari terakhir cuti dan esok (the best day) para pelajar akan kembali untuk memenuhi dewan-dewan dan bilik-bilik kuliah.Insyaallah..pesta ilmu akan bermula lagi esok di bumi KIPSAS.Namun bagaimana dengan masa cuti selama seminggu? Adakah dimanfaatkan dengan sebaiknya ataupun tidak.

Mungkin bersama dengan keluarga itu juga salah satu cara memanfaatkan cuti tetapi bagaimana dengan pengisiannya?

Adakah memberi tambahan pada iman atau dipenuhi dengan noda-noda dosa yang kita sendiri tidak menyedarinya..mungkin melalui pancaindera kita yang memandang,mendengar dan merasa?

Allah berfirman dalam KalamNya yang bermaksud :

"Demi masa.Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan serta saling nasihat menasihati ke arah kebenaran dan kesabaran"


Hakikatnya manusia itu sentiasa akan rugi andai masa yang dilaluinya berlalu tanpa amalan kebaikan yang membantu dirinya di dunia dan akhirat.

    Masa itu adalah anugerah dari Allah dan masa yang lapang dan sempit itu juga merupakan ujian dan tarbiyah Rabbani terhadap manusia.Dan Allah akan bertanya pada hambaNya bagaimana kita memanfaatkan atau menggunakan masa yang diberi itu? Allah..pastinya payah bagi kita untuk menjawabnya apatah lagi untuk berhelah di hadapan Allah, kerana mulut yang bijak dan lantang berkata-kata ini akan membisu di akhirat kelak kerana persaksian amalan itu adalah dari anggota badan kita yang lain.Allahu akbar..lemahnya kita sebagai hambaNya.
  
    Kita sering mendengar pepatah arab ini (ana tak pasti jika ini ialah kata-kata sahabat) "Masa ibarat pedang,jika kamu tidak memotongnya,maka ia akan memotongmu".Ini menunjukkan bahawa masa tidak akan menunggu manusia dan ia akan sentiasa berlalu dan menjadi masa silam.Dan semua manusia akan memilki masa silam.Namun yang membezakan masa silam antara manusia itu adalah samaada ia masa silam yang baik atau buruk.

  Ana menghabiskan masa cuti ini di KIPSAS bersama seorang sahabat.Tidak bercadang untuk ke mana-mana pun.Bukan tidak mendapat ajakan daripada sahabat lain tetapi berfikir betapa kekoknya ana perlu tidur di rumah orang.Bukan juga memilih atau cerewet tetapi ana mudah merasa kekok dan tidak gemar berada dalam kalangan orang yang ramai.Emm..dan bagaimana ana menghabiskan masa cuti ana? Pastinya dengan assingment dan blog yang baru ana buat sebagai salah satu cara untuk ana mengingati semula setiap ilmu yang dipelajari disamping berkongsi ilmu dengan sahabat yang lain.(moga amalan yang tidak seberapa ini diterima oleh Allah s.w.t)


   Mungkin ilmu yang ada ni suatu yang biasa untuk dikongsi namun kekadang yang biasa itu lah yang manusia selalunya akan lupa.Manusia atau insan merupakan makhluk yang mudah lupa..bukan Melayu je mudah lupa seperti yang dikatakan oleh Tun Mahathir "MELAYU MUDAH LUPA".Sekadar ingin menjadi insan yang memberi manfaat kepada orang lain.Dan mungkin ini juga salah satu cara atau amalan yang dapat menggantikan setiap dosa yang telah dilakukan.(Istighfar panjang..) seperti mana yang disebut oleh Prof Dr Yusus Al-Qardhawi sebagai salah satu cara dalam pelaksanaan taubat melalui amalan.

So,bagaimana kita mengisi masa kita? agar tidak tergolong dalam orang yang rugi..Mari sama-sama kita muhasabah diri..

LIST TARBIYAH FOR HUMAIRAH..


a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan sedalam-dalamnya

b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran

c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.

d) Khusyuk dalam solat.

e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.

f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya.

g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.

h) Beriktikad dengan akidah yang betul.

i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.

j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.

k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.

l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan perbuatan.

m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.

n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah.

o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.

p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.

q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.

r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang soleh yang boleh dijadikan teladan.



Apa khabar hati anda hari ini?

Sakit?
fs02fs03fs10


Sihat?
fs11fs12fs31 

"Orang-orang yang beriman dan hati-hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram."
(Ar-Ra'd: 28) 

Sahabat dan Aku

Assalamualaikum..
Salam ukhwah bersulam taqwa..

   Berbicara dengan sahabat yang berada jauh di Sabah menyebabkan ana membuka memori yang tersimpan dalam kotak akal dan hati.Lakaran indah bersama sahabat di medan dakwah.Tautan hati yang Insyaallah kekal untuk menjadi bukti di akhirat kelak.Tersenyum..segala pahit manis yang dilalui tak pernah sedikit pun menimbulkan rasa benci antara satu sama lain dan alhamdulillah segalanya menjadi pengikat ukhwah antara kami.

   Berkongsi cerita itu suatu yang biasa bagi sesuatu hubungan persahabatan namun ramai yang lupa dan alpa untuk melihat isi cerita yang dikongsi.Begitu juga ana apabila bersama dengan sahabat-sahabat,kekadang alpa untuk menapis bicara dan cerita yang dikongsi.Takut pula cerita yang dikongsi menempah neraka.Nauzubillah.
Bicara hati dan perasaan..as muslimah kami juga saling berkongsi rasa dan perasaan.Bukan untuk membelai perasaan yang datang tetapi untuk mengetuk hati yang terbuai agar bangun daripada lenanya perasaan.
  Hakikatnya dalam bersahabat still perlu kepada adab dan akhlak sesama sahabat hatta serapat mana pun hubungan yang terjalin.Dan sahabat juga bukanlah orang yang akan melindungi kesalahan sahabatnya.Imam Hassan Al-Basri berkata :

Seorang mukmin adalah cermin bagi saudaranya yang lain. Jika dia mendapatkan sesuatu yang tidak menyenangkan pada diri saudaranya, ia bersegera meluruskan juga selalu menjaga aib saudaranya baik ketika sendirian atau ketika bersama orang lain.



Adab bersahabat :



(1) Melebihkan sahabatnya atas dirinya dari segi material.Jangan terlalu bakhil.

(2) Membantu sahabatnya dari segi keperluannnya dengan bersegera tanpa ia meminta tolong.

(3) Menyembunyikan segala rahsia-rahsia sahabatnya.

(4) Menutup segala kea’ibannya.

(5) Apabila ia mendengar seseorang mencela sahabatnya, dia tidak menyampaikan perkataan itu kepada sahabatnya.

(6) Apabila seseorang menceritakan keburukan sahabatnya, janganlah ia mendengarnya.

(7) Apabila mendengar seseorang memuji sahabatnya atau sesuatu yang menyukakannya, hendaklaklah ia menyampaikan khabar itu kepadanya.

(8) Apabila sahabatnya berucap, hendaklah ia bersungguh-sungguh mendengar ucapannya.

(9) Meninggalkan berbantah-bantah dengan sahabatnya.

(10) Memanggil sahabatnya dengan nama yang ia sukai, bukan gelaran yang buruk.

(11) Apabila melihat sahabatnya berbuat kebajikan, hendaklah ia bersyukur atas perbuatannya.

(12) Menegahkan seseorang daripada mencela sahabatnya sepertimana ia menegahkan seseorang mencela dirinya.

(13) Memberi nasihat kepada sahabatnya dengan perkataan yang lemah lembut,bukan dengan sindiran yang pedas dan tajam menikam hati.

(14) Memaafkan segala kesilapan sahabatnya, bukan memerli atau menempelaknya.

(15) Mendoa’kan sahabatnya didalam solatnya semasa hidupnya dan selepas matinya.

(16) Membuat kebaikan dengan ahli keluarga sahabatnya kemudian dari matinya.

(17) Jangan membebani sahabatnya dengan permasalahannya supaya senang hatinya.

(18) Menzahirkan kegembiraan dengan sebab nikmat yang didapati oleh sahabatnya.

(19) Menzahirkan kedukaan dengan sebab kesusahan yang menimpa sahabatnya.

(20) Hendaklah ia memulai salam ketika bertemu dengan sahabatnya.

(21) Apabila datang sahabatnya ke suatu majlis, hendaklah ia membuka ruang duduk untuk sahabatnya dan jika tiada ruang untuknya, hendaklah ia berpindah ketempat lain bagi memberi ruang untuk sahabatnya.

(22) Apabila sahabatnya mahu pulang ketempatnya, hendaklaklah menurutinya hingga kemuka pintu rumah atau pagar untuk memuliakannya.

(23) Apabila berkata-kata sahabatnya, hendaklah ia diam seraya mendengar segala perkataannya sehinggalah selesai.Kemudian barulah ia memulakan pula perkataannya.Dan jangan sekali-kali ia mencelah perkataan sahabatnya.



   Teringat kepada kata-kata seorang murabbi "Memilih seorang teman atau sahabat perlu melihat kepada dua kriteria iaitu ilmu dan akhlak.Seseorang yang itu dapat mengajak kita untuk cintakan ilmu dan memilki akhlak yang baik sebagai contoh serta mampu mengajak kita kearah kebaikan"

  Dalam konteks ilmu berpanjangan dan tidak mengenal batas umur serta belajar hingga ke liang lahad,maka perlu untuk kita memiliki teman yang turut memegang prinsip ilmu sepanjang hayat dan menganggap ilmu sebagai proses yang berterusan sebagai penggalak.Namun bukanlah mengenepikan orang-orang yang digolongkan sebagai kurang pandai..hakikatnya semua itu ukuran dunia dan pandangan manusia..Pandai bukanlah bermakna seseorang itu memperolehi dekan dan sijil anugerah kecemerlangan semata-mata namun pandai dan bijak itu sentiasa ada pada setiap tempat dan posisi. Ana sendiri mengukur pandai itu dalam konteks apabila sesorang itu mampu untuk mengamalkan ilmu yang diperolehi dengan baik maka dia juga orang yang bijak pandai.Wallahu alam..

Hasan al-Bashri rohimahulloh dalam hal ini mengatakan, “Seorang teman yang jika engkau temui akan mengingatkanmu akan kewajibanmu terhadap Alloh itu lebih baik bagimu dari seorang teman yang selalu memberimu segenggam dinar.”

Selamat bersahabat dan menjaga persahabatan...





Friday, February 4, 2011

Tassawuf :Taubat Penawar Dosa

Salam ukhwah bersulam taqwa..

Alhamdulillah..separuh daripada assigment yang dibuat telah disiapkan.Bicara mengenai taubat..rasa tersentuh saat membaca buku Taubat karangan Prof. Dr Yusuf Al-Qardawi.Bertanya pada diri "diterimakah taubatku?"
Taubat merupakan perkara yang memerlukan keikhlasan dan penyesalan yang bersungguh..bertanya pada diri "cukupkah sekadar air mata yang mengalir saat benar-benar sesak dihimpit rasa bersalah atas dosa yang dibuat?" Persoalan yang ana sendiri susah untuk menjawabnya.Ana cuba mengukur setiap persoalan tersebut dengan sedikit mutiara ilmu yang diperolehi dalam kitab tersebut.

     Taubat ialah kembali kepada Allah dengan bersungguh dengan berpaling daripada maksiat dan dosa.Taubat bukanlah semata-mata melalui lisan dan lidah tetapi ianya perlu kepada hati dan juga amali iaitu dengan melakukan beberapa amalan yang dapat mengukuhkan taubat.Antaranya seperti melakukan amal soleh,bersahabat dengan orang yang soleh dan menjauhi tempat yang mendorong kita melakukan atau mengulang dosa yang lalu.

 Terdapat beberapa unsur atau syarat dalam taubat iaitu :
  1. Menyesal terhadap dosa yang dilakukan dengan ilmu pengetahuan
  2. Berhenti daripada melakukan dosa tersebut
  3. Berazam tidak melakukannya lagi
  4. Ikhlas kerana Allah

Tanda taubat yang diterima Allah ialah :
  1. Keadaan orang yang bertaubat itu lebih baik dari sebelumnya
  2. Perasaan takut sentiasa menyelubungi sehingga dia merasakan bahawa tidak selamat dari kemurkaan Allah
  3. Hati merasa luluh dan hancur kerana penyesalan
  4. Merasa gembira apabila duduk bersama dengan orang-orang soleh
Firman Allah "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri" (surah Al Baqarah :222)

Hakikatnya Allah Maha Pengampun dan pengampunanNya lebih luas dan besar daripada segunung dosa yang dilakukan..Jangan kita sia-siakn usia yang semakin sempit ini dengan menjauhkan TAUBAT dari rutin harian..Wallahu alam.Moga bermanfaat dan sayangi diri dunia dan akhirat..



Thursday, February 3, 2011

Tassawuf : Sabar sifat mukmin

Salam ukhuwah bersulam taqwa..

Belajar mengenai sabar dengan seorang murabbi amat menyentuh hati dan daya ingatanku terhadap subjek ini..Hakikat sabar..tak mampu rasanya mengungkap nikmat sabar tanpa kita melaluinya dahulu.Namun aku masih mengingati setiap kalam itu sebagai panduan hijrahku..

      Sabar bermaksud menahan diri menurut bahasa.Manakal dari sudut istilah pula ialah menahan diri daripada sesuatu atau perbuatan yang tidak disukai oleh Allah.Hakikatnya segala perkara yang disukai oleh Allah adalah bertentangan dengan kehendak nafsu yang sering kali mengarah kepada keburukan atau kejahatan.

Sabar dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu :

  1. Sabar menahan diri daripada maksiat dan dosa.
  2. Sabar melaksanakan ketaatan kepada Allah
  3. Sabar menanggung kesusahan dan bencana
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya : "Bersabarlah (hai muhammad)dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap kekafiran mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipudayakan"  (surah Al-Nahl :125-127)

Sabar merupakan sifat yang amat perlu dalam diri seorang dai'e dan ianya juga merupakan salah satu sifat Rasulullah s.a.w dalam berdakwah.Namun bukan mudah untuk menanam sabar melainkan dengan kesungguhan dan pertolongan daripada Allah.Ramai manusia pada zaman ini kehilangan sifat sabar hingga bergelumang dengan dosa dan maksiat lalu terjadilah pembuangan bayi,penderaan dan sebagainya.

Faktor yang dapat membantu pembentukan sifat sabar ialah :
  1. Menyedari tentang tabiat hidup di dunia
  2. Menyedari tentang hakikat dirinya
  3. Menyakini balasan yang besar daripada Allah kepada mereka yang sabar
Saidina Ali r.a mengatakan : "hidup ini bermula dengan tangisan,ditengahi dengan kepenatan dan diakhiri dengan kebinasaan/mati"